Friday, February 20, 2009

tiada cahaya di penghujung terowong

hari-hari yang berlalu membawa aku ke suatu daerah yang semakin kabur
tidak seperti yang aku jangkakan - adanya cahaya di penghujung terowong
kerana manusia yang memandu arah perjalanan kita ini
bukan saja buta matanya...malah hatinya juga turut buta

20 februari 2009

Monday, February 9, 2009

di pinggir gelanggang

aku di pinggir gelanggang
menonton sebuah permainan yang amat jijik
di mana manusia memakai pelbagai topeng
untuk melindungi kejijikan itu

aku di pinggir gelanggang
hanya mampu berharap
agar permainan jijik itu
dihentikan


9 februari 2009

Sunday, February 8, 2009

maka berkatalah mereka: derhaka!

maka berkatalah mereka: derhaka!


dua tiga hari ini pejuang-pejuang melayu yang sangat cintakan raja
bersuara dengan gegak gempitanya:
derhaka! derhaka! derhaka!
di segenap penjuru alam akan kedengaranlah jeritan
derhaka! derhaka! derhaka!

maka bertanya rakyat yang telah kehilangan kuasa
tidakkah wakil rakyat yang melompat parti itu
juga menderhaka kepada rakyat?

apabila ada saja orang yang tidak bersetuju dengan raja
maka derhakalah ia
tetapi apabila ada orang yang mengkhianati amanah rakyat
maka itu perbuatan mulia lagi bijaksana


ahad
8 februari 2009

Saturday, February 7, 2009

tipudaya kerana kuasa

tipudaya kerana kuasa
(catatan seorang perantau tentang politik di negara asalnya)


kuasa
menjadikan manusia hilang pertimbangan
akan direbut walaupun terpaksa melacurkan peraturan
kerana maruah bukan diukur dengan nilai dan hukum
tetapi dengan kemenangan palsu yang dicipta melalui muslihat dan putarbelit sang pendusta

hari ini aku menonton
kepalsuan
tipudaya
keangkuhan
yang telah melacurkan institusi yang kononnya mulia

kuasa yang diperolehi dengan tipudaya itulah
yang diakui
sedangkan rakyat menangis kerana hak mereka dikhianati


bandar seri begawan
5-6 februari 2009

Sunday, January 25, 2009

Alam Muzik M Nasir


…Persembahan adalah sebuah puisi panjang dan ia dimulakan dengan hanya vokal tanpa muzik iringan dan setelah beberapa minit, ia diikuti dengan satu alat muzik akan berkumandang, kemungkinan sebuah seruling atau gitar akustik.  Penghujung persembahan adalah satu pesta simfoni yang gemilang...”  M. Nasir


Tuesday, January 13, 2009

batu buruk dalam nostalgia dan harapan

batu buruk
aku pernah menjadi wargamu beberapa tahun dulu
dari 1975 hingga 1977, sewaktu aku dihantar menjadi seorang guru
di sekolah menengah sultan sulaiman

batu buruk
julai 1977 aku berangkat meninggalkanmu
kerana ingin bergelar mahasiswa
universiti malaya

batu buruk
kau adalah sebahagian dari kuala terengganu
yang hari ini
sedang menyambut kedatangan ahli politik dari segenap penjuru negara
untuk menagih simpati dan sokongan

dan ada antara ahli politik itu
yang muflis idea
lalu menjual semula cerita-cerita lama
yang dibungkus semula
dengan warna yang lebih menawan

batu buruk
aku ingin melihat pada 17 januari ini
hukuman yang sepadan
dijatuhkan ke atas ahli politik muflis itu
semoga hukuman
akan menjadi pengajaran kepada mereka
untuk tidak lagi menjaja cerita-cerita lama
yang jelek dan mual
kepada warga malaysia


bandar seri begawan
13 januari 2009

Sunday, January 4, 2009

gaza dihujani peluru yahudi

gaza dihujani peluru yahudi
dunia hanya mampu berdemonstrasi

gaza bersuara untuk survival
tapi dunia tidak mendengarnya

warga gaza berjuang mempertahankan tanah air
dianggap militan yang mengancam kemanusiaan
yahudi membunuh tanpa belas kasihan
dianggap hak untuk melawan keganasan..

bandar seri begawan
4 januari 2009

Sunday, December 14, 2008

hujan di lcct

14 disember 2008 sekitar 2.30 petang
aku di lcct menunggu penerbangan ke bsb
hujan yang begitu lebat tidak memungkinkan pesawat berlepas
berlakulah kelewatan yang berantai-rantai
penumpang yang sesak di dewan menunggu
tidak tahu ke mana akan pergi
hanya menanti hujan berhenti
entah bila, tiada siapa yang mengetahui

lcct telah melebihi kapasiti
jadilah ia seperti sebuah pasar borong
yang sesak dengan manusia


LCCT, KLIA
14.12.2008

Sunday, November 30, 2008

hari minggu, sewaktu menunggu teman

pagi hari minggu sebegini
kesunyian semakin sunyi
kebosanan semakin bosan
kekosongan semakin kosong

sekejap menjadi lama
hampir menjadi jauh


bandar seri begawan
ahad 30 nov 2008

Saturday, November 29, 2008